Apakah faktor kegagalan Malaysia mendapat sasaran 8 pingat emas?
Pada temasya Sukan ASIA tempohari Malaysia dikatakan telah gagal dan hanya mampu membawa 5 pingat emas sahaja. Pembangunan sukan dikatakan semakin lama semakin lemah dan Malaysia dilihat semakin kurang pelapis-pelapis yang berbakat untuk diketengahkan. Saya ingin menyenaraikan beberapa punca masalah yang kita bersama boleh bincangkan.
1) Persatuan sukan kita lazimnya diketuai oleh Ketua Negeri (sama ada seorang Sultan, Tengku Mahkota, ahli Politik atau seorang Menteri). Mungkin ada antara mereka yang betul-betul berminat dalam menjadikan sesuatu institusi sukan berjaya dan ada antara mereka yang hanya menggunakan institusi sukan ini hanya untuk 'parking' duit atas nama Persatuan sukan. Ehem. Cuba bayangkan kos yang akan ditampung kalau orang seperti yang di atas pergi melawat sesuatu lokasi pusat sukan. Hehe. Layanan karpet merah. Lumayan bukan?
2) Kurangnya penglibatan secara langsung atau tidak langsung pihak swasta dalam pembangunan sukan negara. Kalau ada pun bercampur aduk. Dia lah nak sponsor Badminton, dia jugalah yang nak sponsor Squash. Di Korea Selatan saya difahamkan satu company seperti Samsung akan ambil satu sukan untuk diterajui. Hyundai akan ambil basketball, contohnya. Ini akan membuatkan pengumpulan dana bagi sesuatu sukan lebih khusus.
3) Biasiswa dan universiti sukan. Kita jarang dengar pelajar yang ada bakat diberi peluang untuk mendapatkan biasiswa dalam bidang sukan. Bukan tiada, ada tapi sangat kecil jumlah nya. Bayangkan kalau anda pandai main bola padang, dan bakat anda memang terserlah. Kemudian anda diberi biasiswa akademik dan sukan. Tak happy? Tapi tak semudah itu bukan? Wujudnya universiti sukan juga dilihat mampu memberi platform yang lebih besar dalam pembangunan sukan dalam negara. Ya kita ada lebih kurang 8 universiti yang fokus kepada sukan tertentu tetapi mengapa kita tidak boleh ada satu Universiti Sukan yang khusus seperti di Korea, Jepun? Alaa.. bukan tak biasa keluar perbelanjaan besar-besar buat Universiti en?
4) Kita kurang platform untuk setiap golongan untuk ceburi bidang-bidang sukan tertentu. Saya nak tanya, Watson Nyambek, Rabuan Pit, Azmi Ibrahim datang dari platform mana? sekolah, universiti? Selain dari laluan itu bagaimana seorang pegawai sukan turun ke padang mencari bakat-bakat baru? Kita tak tahu sebenarnya di pendalaman Sarawak sebenarnya lahir seorang pelari terpantas tanah air? Dia tak pergi ke sekolah, tapi mempunyai minat mendalam dalam sukan larian. Saya boleh beri contoh program myteam dulu, walaupun program itu nampak tidak disenangi pihak seperti FAM, namun ia berjaya lahirkan produk seperti Azmi Muslim.
5) Kalau nak ukur pembangunan sukan Malaysia, mudah je, bila kali terakhir kita pecah rekod larian 100m? Kali terakhir adalah pada pra-sukan Komonwel 1998. Tolak campur dah lebih kurang 16 tahun tak ada lagi orang yang boleh pecahkan rekod tu. Jadi nak salahkan siapa? Salahkan Khairy Jamaluddin? atau sebenarnya pembangunan sukan negara memang semakin merudum. Bila menang disanjung, bila kalah dihukum. Gan Ping Sieu bekas Menteri Belia dan Sukan pernah berkata pada saya, dia tak akan ambil credit (pujian) jika sesuatu atlet berjaya dalam bidang yang diceburi (pada ketika itu Sukan Olimpik di London, Pandelela dapat Gangsa) Bagi dia kejayaan itu dilakar hasil kejayaan individu yang membimbing Pandelela dari kecil lagi, bukan dia yang hanya baru beberapa tahun memegang jawatan dalam Kementerian.
Jadi pembangunan sukan harus menyeluruh dan meletakkan sasaran jangka panjang. Buka peluang untuk lebih ramai bakat dicungkil. Akademi Fantasia boleh ke serata Malaysia cari bakat, takkan sukan Malaysia tak boleh kut. Bincangkan.