Thursday, 1 March 2012

Hujah Di Balas Hujah

Sejak dahulu lagi saya telah didedahkan atau telah di didik membaca surat khabar setiap pagi. Saya banyak membaca akhbar utusan dan the star yakni telah disediakan oleh ayah. Pengetahuan politik saya amat kerdil namun di setiap bacaan saya boleh lihat perkembangan satu Parti yang bernama UMNO (United Malays National Organization). Sebuah parti yang menjaga hak orang orang melayu. Kalau nak dikatakan, saya membesar dalam kawasan orang yang menyokong kuat UMNO.

Tak dinafikan saya memang lagi bernaung di bawah parti ini, membantu ahli Kelab UMNO Luar Negara dan menjadi ahli berdaftar di Putrajaya. Sifat partisan saya jelas dan hanya membaca artikel yang banyak dikeluarkan oleh golongan blogger/portal pro-parti seperti yang diketahui umum. Segala yang dibaca, minda ini akan seterusnya berat ke arah parti kerana minda dan hati sudah di basuh dengan baiknya.

Namun lama kelamaan saya buka minda, saya cuba mendampingi golongan non partisan, bergaul dengan mereka yang melihat isu negara dalam objektif yang berbeza. Mengupas hujah dalam bentuk yang lebih terbuka. Memberi pandangan secara liberal. Hal ini membuatkan saya lebih matang melihat isu politik yang tak hanya berat memihak pada satu pihak sahaja.


Saya tak nafikan, sejak berkecimpung secara langsung dalam arena politik saya mempunyai ramai kawan dari pihak belah sana. Bukan kerana saya menyokong agenda mereka, tapi kerana saya rasa kekuatan persahabatan jauh dari permainan politik semata-mata. Masing-masing mempunyai pandangan masing-masing dalam mengupas isu. Hujah dibalas hujah. Kalau ada silap ideologi atau analogi seseorang, ia perlu di bidas dengan struktur jawapan yang sesuai, bukan berperang mencemar nama orang. Bukan dengan masukkan buku jingga ke dalam tong sampah. Haih. Perbuatan ini sesungguhnya memalukan pucuk pimpinan parti yang bergelar UMNO. 



Saya kerap jumpa wakil media dari pihak kerajaan, pembangkang mahupun yang membincangkan isu kedua-keduanya. Saya mengambil contoh Sinar Harian yang tidak berpihak, menulis tentang isu dan cuba memberikan maklumat yang terbaik kepada pembaca. Gambaran akan diberikan sejelasnya dan terhidang pada pembaca untuk menilai. Inilah rakyat masa kini, minda mereka tidak kolot hanya berpihak pada satu penghujahan (walaupun saya tak nafikan masih ramai diluar sana). Sedih. Tapi golongan ini tetap akan mengundi, akan menyokong salah satu dari parti dalam negara. Kalau bukan mengambil hati mereka, tidak menang lah parti anda dalam pilihanraya. Jadi bertindaklah dengan bijaksana, kerana mereka bukan inginkan wang anda semata-mata tapi satu pejuang yang boleh diutus untuk mempertahankan negara mereka yang tercinta.


Sesungguhnya UMNO perlu berubah, perjuangan harus sama, memperjuangkan pembangunan kaum melayu tapi sistem harus lebih terbuka. Menerima perubahan selari dengan peredaran zaman. Meniliti masalah negara, dan gunakan platform parti untuk menyelesaikan, bukan hanya rebutkan jawatan untuk berkuasa. Kalau aliran atas tidak berubah susah untuk yang bawah mengikut jejak. Dato' Sri Najib telah mulakan langkah transformasi, ikutlah jangan masih duduk berpaksikan perjuangan totok yang kusut itu. Pandangan anak muda harus diberi peluang, jangan hanya berlandaskan politik wang kalau tidak mahu lihat kaum melayu hilang.